Friday, 15 January 2016

Hanya Sekali

Oh dunia,
Andainya esok aku pergi,
Adakah masih aku di ingati,

Oh dunia,
Andainya esok aku pergi,
Adakah engkau akan datang mencari,

Dunia,
Adakah segala yang aku lalui,
Akan menjadi suatu yang bererti,

Dunia,
Adakah segala yang aku lalui,
Akan menjadi sesuatu yang dihargai,

Andainya esok aku pergi,
Andainya esok aku mati,
Ingatilah segala yang telah aku lalui,
Kerana aku hadir hanya sekali,
Dan tidak akan ada lagi diri ini.

Tuesday, 29 December 2015

Aku & Kopiah

Sudah lewat malam dan aku belum terfikir nak melabuhkan kelopak mata aku. Maka, aku mencapai laptop aku sambil  menulis coretan kecil ini. Malam yang sejuk membeku buat aku rasa lapar pun ada. Ahh mainan semua tu. Hahahaha

Aku & Kopiah

Dakwah.
Semua orang boleh jadi pendakwah, sesiapa sahaja yang memegang kata "La ilahaillallah", maka dia seorang pendakwah. Pendakwah? Amar makruf nahi mungkar sudah menjadi tanggungjawab. Aku pendakwah, kau pendakwah dan semua umat Islam atas muka bumi ini boleh digelar sebagai pendakwah.

Namun sejauh mana kita mengaplikasikan diri sebagai pendakwah? Kadang aku terfikir, apa yang membuatkan aku wajib berdakwah? Sedangkan ramai lagi ustaz ustazah boleh bagi ilmu agama yang hebat untuk sedarkan manusia. Aku mengaku, nak jadi pendakwah yang ikhlas sumpah susah! Baru dakwah alam maya beb. Aku respect kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW yang sanggup jalankan dakwah dari sekecil-kecil zarah sehingga sebesar-besar mata dunia.

Apa yang aku  boleh bagi untuk dakwah? Apa sajalah perkara baik yang boleh aku berikan untuk mad'u (orang yang didakwah) pada zaman ini? Aku pun kotor beb.
Malu, malu bila orang pandang kita mulia sebab rajin berdakwah
Tapi aib aku jauh sekali dengan apa yang aku sampaikan
Kalau kau nak jumpa daei yang ikhlas, aku ada riaknya
Kalau kau nak tengok daei yang takda syahwat, bukan aku orangnya
Kalau kau nak lihat daei yang boleh jaga percakapan dia mengingati Allah,
aku rasa itu bukan aku

Aku malu, sumpah malu
Bukan malu untuk berdakwah, tapi aku malu apabila Allah pandang murka pada aku dekat bumi ni
Bukankah di akhirat nanti akan adanya orang alim yang dicampakkan ke dalam neraka,
bila ditanya mengapa, maka jawapannya adalah mereka orang yang sering mengatakan kebaikan kepada orang lain, tetapi dalam masa yang sama dia melakukan maksiat kepada Allah SWT.
Aku taknak jadi munafik, aku taknak jadi hipokrit.

Demi Allah, aku kena belajar ikhlas
Aku dakwah demi diri aku sendiri, aku nak berubah
Aku taknak dakwah sebab nama, biarlah aku miskin dunia
Tapi kaya di akhirat
Biarlah aku sekadar picisan di bumi
Namun aku nak jadi terkenal pada penduduk langit

Semoga aku istiqamah, dalam masa yang sama aku kena baiki diri aku
Qudwah qabla dakwah right? (Contoh sebelum ajakan)
So, let action speaks louder than words

Aku cuba untuk tidak ambil pedulikan tentang expectation manusia yang judging 24/7 untuk memuaskan hati mereka. Sebab aku juga manusia, berdarah apabila terjatuh.
Aku cuma perlu penuhkan tuntutan aku dengan Allah azzawajalla
Sungguh, di dunia perlu aku sukakan Tuhan, insha Allah di akhirat nanti Tuhan pula akan sukakan aku. Doakan!
Same goes to you yang tengah baca sekarang ni. Hehe.
Semoga istiqamah sebagai hamba Allah, umat Muhammad SAW, anak yang soleh solehah & syabab yang matang dalam agama.
Kejayaan dakwah aku bukan ditentukan oleh manusia, tetapi Dia
Rabbku
Bukan manusia,
"Sebab, kau sama sekali bukan Tuhan aku." -Mato

Sunday, 20 December 2015

Sedarlah Manusia

Manusia,
Dunia sudah dipenghujungnya,
Mati semakin dekat dengan kita,
Syaitan sentiasa menghasut kita,

Manusia,
Pintu neraka sentiasa terbuka,
Pintu syurga sentiasa terbuka,
Pintu taubat sentiasa terbuka,

Manusia,
Adakah kita mahu terus membuat dosa,
Adakah kita mahu terus lalai terhadap dunia,
Adakah kita mahu terus dimurkai oleh Pencipta,

Sedarlah manusia,
Dunia ini hanya sementara,
Dunia hanya untuk menyesatkan,
Dunia tempat untuk beribadat,

Sedarlah manusia,
Allah sentiasa memerhati kita,
Allah sentiasa menunggu taubat kita,
Allah sentiasa menyayangi kita,

Lupakanlah keseronokan,
Lupakanlah kenikmatan,
Lupakanlah segala yang manis di dunia,
Dan kejarlah kemanisan di akhirat,
Kerana akhirat itu kekal selamanya.

Friday, 18 December 2015

Kalau

"Kalaulah dulu aku masuk asrama,sekarang ni mesti aku tak jadi camnie?""Kalaulah aku buat betul2 exam tu,takdenya gagal"

Kalau,kalau, kalau. Yea dialog2 yang ada kalau-kalau ni memang confirm laa kita selalu dengarkan. Iyelah kita ni manusia, biasa lah tu ungkap perkataan kalau nie. Tapi, kalanya ia baik, ada kalanya membawa keburukan.

Rasulullah pernah bersabda: Jangan kamu berkata: "Kalau aku buat begini,akan jadi begini". Tetapi katakanlah : " Ini takdir Allah,apa yang Dia kehendaki akan berlaku". Sesungguhnya 'kalau' membuka pintu syaitan.

So, dalam hidup ni, kita akan berdepan dengan banyak pilihan. Kadangkala pilihan yang kita buat tu betul,ada kalanya salah. Masa kita 4 tahun pun mak kita dah tanya nak mainan apa. So,hidup ni memang penuh dengan pilihan. Namun, perlu ke kita menyesal dengan pilihan kita? Perlu ke kita lihat ke belakang dan lihat pilihan yang kita tidak pernah ambil? Kenapa kita tidak lihat ke hadapan dan lihat segala peluang yang masih ada untuk kita?

Memang benar, dalam hidup,kita akan buat pilihan yang salah, tapi, jangan menyesal, jangan sesekali menyesal. Sebaliknya,lebih baik kita muhasabah diri dan ambil pengajaran dari kesilapan kita. Macam tu kan lebih indah

Nabi dah ajar, kalau tak tahu nak buat pilihan apa, solat istikharah. Nabi dah ajar, kita je taknak buat.
Serahkan semuanya pada Allah. Dia tahu apa yang terbaik untuk kita. Semoga Allah permudahkan segalanya.

"Hidup ni sekali, jadi manfaatkannya sebaik mungkin" - Anonymous

Kertas Hati

Coretan kecil yang aku nukilkan ini, sekadar luahan aku terhadap alam sekeliling yang dikurniakan oleh-Nya. Wallahi, namun untuk mengejar perhatian manusia, tidak sama sekali.

Zaman jahiliah kita memang indah, gila tak tipu. Memang best!! Enjoy dan asyuk habis. Kita berikhtilat, bercouple, hisap rokok, dedah aurat, tak tunduk pandangan, melepak, berzina, mencuri. Itu semua memang indah. Mana ada jahiliah yang tak seronok dua tiga ronok. Semuanya beronok-ronok!
Tinggal solat apatah lagi. Azan berkumandang boleh je lepak main phone mesej crush, main game kat cc, hatta tidur dengan selambanya.Fuhh walaweh! Gempak tak gempak lah kan maksiat kita selama ni. Nasihat mak ayah kita simpan dalam pankreas je. Ahh, zaman dia orang lain, zaman kita lain! Bukan main lagi nak mengajar mak ayah balik. Segala dakwah yang mak ayah berikan hanya sekadar bluetick. Ada pun sehingga yang merempit, bertaruh dua tiga empat ratus. Menang! Main poker daun terup, straight win! Awek kiri kanan, selamba je pasang baru, macam biskut je gantinya. Wei, aku bagitau kau! Best gila jahiliah kita dulu! Dunia dah takda batasan untuk kita. Semua benda kita boleh lenjan.

Tapi sahabatku,

Sampai satu saatnya, kita akan belajar
Kita akan rasa, yang namanya hidayah
Barangkali korang yang sedang membaca ini mungkin sedang diketuk oleh pintu hidayah
Dan ada yang lebih baik daripada aku. Aamiin

"Kita rasa dunia ni best, tapi akhirat tu lagi best bro!" -murabbi

Bukan kerja aku nak faham quotes ntah brader mana bagi ni. Aku tengah berjahiliah ni jangan kacau!

Okayy, carry on lah wahai diri yang angkuh. Takpa, semoga kau berubah.

Dan ya, akan tiba suatu saat nanti.
Musibah yang berat menghempap ke atas kita, pedih peritnya yang kita rasa macam nak pecah kerongkong kalau diluah
Segala jahilah yang kita punya dulu, hilang
Dalam masa yang sama kita dah tak punya sesiapa lagi.
Mimpi-mimpi indah yang kita pernah telan dulu hanya sekadar sisa

Kita rasa mak ayah takkan faham kita
Kawan-kawan semua takkan ambil port.
Crush atau couple-couple kita ada life yang lebih penting & tak ingin ambil peduli
Orang sekeliling pandang kita macam batu tepi jalan
Kosong.

Dan pada saat itulah,
Kaki kita hanya mampu melutut
Dahi kita hanya mampu bersujud
Tangan kita hanya mampu menadah
Titisan demi titisan air mata yang jatuh
Hanya untuk meluahkan apa yang perit di dalam hati.
 Kepada siapa?
"Allahurabbi..."
Dan mungkin pada saat itulah
Hidayah datang mengetuk pintu kita.
"Oh selamat datang. Aku menanti-nanti kedatangan kau!"
Atau
"Datang lain kali boleh tak?"

Semoga air mata keinsafan ini mampu membakar api nerakaku di akhirat kelak nanti ya Allah.

Penyayangnya Allah SWT, Dia membuka pintu keampunan-Nya pada waktu siang untuk mengampunkan dosa hamba-Nya pada waktu malam dan membuka pintu keampunan-Nya pada waktu malam untuk mengampunkan dosa hamba-Nya pada waktu siang.
Tak cukup lagi? Ini.

"Rabb kita turun di langit dunia pada sepertiga akhir dari malam, lalu berkata: "Adakah orang yang meminta padaKu untuk Aku penuhi permintaannya? Adakah orang yang memohon ampun kepadaKu untuk aku penuhi dosa-dosanya? Adakah orang yang bertaubat kepadaKu untuk Aku terima taubatnya? Dan adakah orang yang berdoa kepadaKu untuk Aku kabulkan doanya??"

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Ahmad)

Menangislah jika rasa perlu wahai diri
Kau pertikaikan cinta Allah? Kau kata Allah tak adil?
Mana keadilan kau sebagai hamba untuk hidup di atas muka bumi Tuhan?
Kau sombong, kau angkuh
Tapi,
Itulah Allah, Tuhan kita, baiknya Tuhan kita.
Hampir setiap malam Allah menjenguk ke bumi untuk Dia terima doa kita, taubat kita & keampunan kita
Dosa yang bergunung dari bumi sampai ke langit Allah boleh ampunkan jika kita benar-benar bertaubat & beristighfar, dan apa yang memilukan hati, Dia langsung tak kisah.
Ya, Allah langsung tak kisah

Dia langsung tak kisah
Bila ada di kalangan hamba-Nya, maksiat dengan mata tapi Dia langsung tak butakan mata kita
Bila ada di kalangan hamba-Nya, bercakap perkara maksiat, tapi Dia langsung tak bisukan kita
Bila ada di kalangan hamba-Nya, mendengar perkara yang menyebabkan dosa, tapi Dia langsung tak pekakkan telinga kita.

Kita sebenarnya yang kejam!
Kita buat maksiat, Allah tetap tunggu kita
Kita bercinta dengan cara yang haram, Allah tetap menantikan kita
Kita salah guna nikmat, Allah tetap tambah lagi dan lagi.
Kita sombong dengan Allah, tapi Allah tetap sayangkan kita.

"...Fainni qarib"

Dan mungkin,
Allah rindu nak dengar tangisan kita.
Dia jentik hamba-Nya dengan ujian. Sedikit ujian.
Dengan harapan semoga kita kembali, kita U-turn
Cinta yang bersatu kembali. Yang sebenarnya.

Rabbul alamin.




Thursday, 17 December 2015

Nikmat yang tidak kita sedari

Pernah tak kita rasa serabut,patah hati,sedih,dan perasaan yang sama dengannya? Sudah tentu pernah kan sebab kita manusia. Dan kita sedar tak yang kita sebenarnya sangat beruntung. Kenapa?? Sebab kita ada Allah. Time kita sedih,kita kecewa,serabut apa semua tu,Allah sentiasa dengan kita,Allah sentiasa menunggu kita mengadu dekat Dia. Tapi kita ada mengadu dekat dia tak? Dan kita ingat Dia tak ketika senang?? Kalau ada Alhamdulillah.

Jika kita fikirkan semula,kita juga sangat beruntung kerana diberikan islam secara percuma,tak perlu bersusah payah nak cari,lahir lahir terus Allah bagi kita Islam. Tapi kita bersyukur tak dengan pemberian Allah tu? Kita laksanakan tak suruhan Allah? Sama sama lah kita muhasabah diri.

Semoga allah meredhai kita semua in shaa allah.

Kenangan Kita Bersama

Sahabatku,
Masih segar di ingatanku,
Waktu kita bersama sama,
Membina sebuah memori,
Yang kekal hingga kini,

Sahabatku,
Masih segar di ingatanku,
Waktu kita bersama sama,
membina sebuah persahabatan,
Yang bahagia hingga kini,

Sahabatku,
Masihkah kau ingat,
Saat kita bergelak ketawa bersama,
Saat kita bergurau senda bersama,
Saat kita melakar sebuah persahabatan bersama,

Sahabatku,
Masihkah kau ingat,
Saat kita menangis bersama,
Saat kita berduka bersama,
Saat kita kecewa bersama,

Walaupun semua itu sudah berlalu,
Walaupun semua itu hanya tinggal kenangan,
Namun ia tetap bermain di ingatanku,

Akan ku ingati kenangan itu,
Kerana itulah,
Kenangan kita bersama